SARIKEI: Tindakan pantas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei berjaya menangkap seekor ular yang ditemui di luar sebuah rumah di Lorong 8, Jalan Sepat, di sini, pagi tadi.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 7.34 pagi.
“Susulan panggilan kecemasan itu, komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Hilary Pitre Ambit bersama dua anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seekor ular berada di luar rumah pengadu,” katanya ketika dihubungi hari ini.


ANGGOTA bomba menunjukkan ular yang berjaya ditangkap di luar sebuah rumah di Lorong 8, Jalan Sepat, Sarikei. Foto BBP Sarikei
Beliau berkata, komander operasi kemudian melakukan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba menjalankan operasi menangkap ular berkenaan mengikut prosedur keselamatan ditetapkan.
“Anggota bomba menggunakan peralatan perlindungan diri lengkap serta penjerut ular bagi menangkap reptilia berkenaan sehingga berjaya.
“Ular itu kemudiannya dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari kawasan penempatan penduduk.
“Operasi khidmat khas menangkap ular itu selesai sepenuhnya pada 7.50 pagi,” katanya.
Oleh Earl Anek





