PRN13: Menang tanpa bertanding, Abdul Karim fokus pembangunan Asajaya

Facebook
WhatsApp
MENANG…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N.15 Asajaya pada PRN Sarawak ke-13, pagi tadi. Foto Norman B

ASAJAYA, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Asajaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jerry Zannuddin selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima sepanjang tempoh penamaan calon dari 9.00 pagi hingga 10.00 pagi tadi.

Menurut Jerry, kertas penamaan calon Abdul Karim diterima pada 9.05 pagi sebelum disemak dan disahkan memenuhi syarat pencalonan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Abdul Karim yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sekali gus berjaya mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal keenam.

Mengulas kemenangan itu, Abdul Karim berkata, pengalaman tersebut merupakan yang pertama sepanjang penglibatannya dalam politik sejak mula menjadi wakil rakyat pada 2001.

KENANGAN…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah merakam kenangan bersama penyokong GPS selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Asajaya, pagi tadi. Foto Norman B

“Saya berasa begitu terharu kerana buat pertama kali dalam sejarah politik saya, setelah lima penggal dan kini memasuki penggal keenam, saya menang tanpa bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding di sini, hari ini.

Abdul Karim turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong dan penduduk Asajaya atas sokongan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Asajaya dijangka memasuki fasa pembangunan berskala besar dalam tempoh lima tahun akan datang susulan beberapa projek infrastruktur yang dirancang di kawasan berkenaan.

“Asajaya adalah antara kawasan yang cukup strategik kerana berada dalam lingkungan bandar raya Kuching, yang mana perancangan pembangunannya begitu pesat sekali,” katanya.

DITEMUI MEDIA…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui media selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Asajaya, pagi tadi. Foto Norman B

Menurutnya, antara pembangunan yang dirancang termasuk lapangan terbang antarabangsa baharu, pelabuhan, jalan pesisir berkembar serta lebuh raya bertingkat.

Katanya, perpaduan masyarakat serta kerjasama antara rakyat, kerajaan dan pihak pentadbiran, termasuk melalui sesi libat urus bersama penduduk, penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembangunan berkenaan.

Selain pembangunan fizikal dan ekonomi, Abdul Karim turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan, khususnya dalam meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dalam kalangan anak-anak Asajaya.

Penyediaan kemudahan sukan seperti gelanggang futsal, padang bola sepak dan dewan di kampung-kampung pula merupakan antara pendekatan untuk mendekati golongan belia.

Terdahulu, Abdul Karim tiba di pusat penamaan calon pagi tadi dengan diiringi kira-kira 1,000 penyokong dan jentera parti. Sapawi Samat bertindak sebagai pencadang, manakala Mahani Sahari sebagai penyokong pencalonannya.

Oleh Norman B