BINTULU, 28 Nov: Pertembungan antara penyandang, Johnny Pang Leong Ming daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Chiew Chan Yew, mengesahkan persaingan satu lawan satu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.68 Tanjong Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abang Zainuddin Abang Turkey, mengesahkan kedua-dua calon layak bertanding selepas proses penamaan calon di Lobi Utama Bangunan Wisma Bintulu.

Chiew, 39, merupakan calon yang tiba lebih awal pada 8.25 pagi, diikuti Johnny Pang, 66, pada 8.26 pagi.
Johnny Pang dikemukakan oleh Sophie Shariee sebagai pencadang dan Ding Huong Mieng sebagai penyokong, manakala Chiew diiringi pencadang Chiew Liz serta penyokong Irene Chew Ing Jie.
Kehadiran penyokong kedua-dua parti turut mewarnai suasana di pusat penamaan calon apabila sesekali laungan slogan kedengaran sebagai tanda sokongan kepada calon masing-masing.
Oleh Carolyne Utih





