KANOWIT, 28 Nov: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alexander Donald, penyandang kerusi itu, Anyi Jana yang bertanding sebagai calon Bebas, serta Tedwin Beti daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Chong Nee Nee, mengesahkan pertandingan tiga penjuru itu pada 10.15 pagi selepas ketiga-tiga borang pencalonan diterima tanpa sebarang penolakan.
Anyi, yang sebelum ini tidak dicalonkan semula oleh GPS, memilih untuk mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Bebas, sekali gus berdepan saingan daripada dua calon lain.
Beliau tiba di pusat penamaan calon di Kompleks Sukan Kanowit pada 8.20 pagi bersama penyokongnya, diikuti Alexander pada 8.42 pagi dan Tedwin pada 8.50 pagi.
Ketibaan Alexander diiringi penyokong yang berpakaian putih serta lelaki yang mengenakan pakaian tradisional Iban, iaitu gagong. Tedwin pula turut hadir dengan mengenakan pakaian tradisional masyarakat Iban.
Dari segi proses penamaan calon, Anyi menyerahkan borang pencalonannya pada 9.03 pagi, diikuti Alexander pada 9.10 pagi dan Tedwin pada 9.11 pagi.
Tempoh penamaan calon berakhir pada 10.00 pagi sebelum Chong mengumumkan secara rasmi keputusan pertandingan tiga penjuru itu pada 10.15 pagi.
Oleh Tarani Lanting




