632,149 pengundi tidak perlu keluar mengundi susulan 29 calon menang tanpa bertanding

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Ramlan Harun ketika sidang media SPR di Pejabat SPR Sarawak, hari ini.

KUCHING, 28 Nov: Seramai 632,149 pengundi berdaftar di Sarawak tidak perlu keluar mengundi pada 12 Disember ini susulan 29 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 30.71 peratus daripada keseluruhan 2.058 juta pengundi berdaftar di negeri ini.

Menurutnya, pengundi yang berada di 29 kawasan DUN berkenaan tidak perlu hadir ke pusat mengundi pada Hari Pengundian kerana tiada pertandingan diadakan di kawasan masing-masing.

“Jadi, saya ingin memaklumkan dan menasihati kepada pengundi-pengundi supaya menyemak perkara ini agar pada hari tersebut mereka yang terlibat tidak perlu keluar mengundi.

“Kita juga bimbang mungkin ada yang tidak mendapat maklumat dan sebagainya. Sila semak melalui pelbagai saluran maklumat termasuk MySPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pejabat SPR Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ramlan menasihatkan pengundi supaya mendapatkan maklumat tepat berhubung status kawasan masing-masing bagi mengelakkan kekeliruan pada hari pengundian.

Terdahulu, SPR mengesahkan seramai 29 calon telah menang tanpa bertanding sekali gus dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak bagi penggal ke-13.

Kesemua 29 kerusi berkenaan dimenangi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus menyaksikan tiada proses pengundian di kawasan terbabit.

Antara kerusi yang menang tanpa bertanding itu ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari. Kesemua kerusi berkenaan dimenangi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PRN Sarawak ke-13 menyaksikan sebanyak 168 calon disahkan bertanding bagi merebut 53 kerusi DUN, manakala 29 kerusi lagi tidak dipertandingkan.

Hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember ini.