
PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan bagi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Istiadat tersebut berlangsung pada 10.00 pagi di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri, Petra Jaya, dan turut diiringi oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Dalam istiadat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang, telah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Sarawak bagi tempoh pelantikan selama tiga tahun.
Majlis angkat sumpah telah dikendalikan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Tun Wan Junaidi, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie, selaku Pendaftar Istiadat.
Turut hadir Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar bersama isteri, Dato Fatimah Mohd. Iskandar.
Turut bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta isteri Timbalan Speaker, Datin Nurhidayah Hussain dan ahli keluarga.
Antara tetamu kehormat lain yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Ibrahim Baki serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Imam Besar Sarawak, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Tun Wan Junaidi merakamkan ucapan tahniah kepada Dato Idris Buang atas pelantikan tersebut dan berharap agar amanah yang diberikan dapat dipikul dengan penuh komitmen, integriti dan tanggungjawab.
Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh pentadbiran Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak serta memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri.
Oleh Amanda L