PUNCAK BORNEO: Impian mendiang Debra Moset untuk menetap di rumah baharu bersama keluarga akhirnya tercapai dalam keadaan yang tidak pernah terlintas di fikiran suaminya, John Then Hua Ken, 43.
Rumah yang dibina hampir setahun lalu dan sepatutnya menjadi kediaman baharu mereka kini menjadi tempat persinggahan terakhir mendiang sebelum disemadikan selepas terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, pada 8 September lalu.
John berkata, mendiang sebelum ini sudah membuat persiapan untuk berpindah ke rumah berkenaan dengan menyediakan pelbagai keperluan asas termasuk tilam, pinggan mangkuk dan peralatan memasak.
“Dan itulah sebabnya saya bawa dia ke sini, ke rumah baharu kami, kerana ini adalah impian terakhir dia untuk tinggal di rumah baharu kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Semadang, hari ini.
Menurutnya, rumah berkenaan hanya menunggu proses penyambungan meter elektrik oleh Sarawak Energy sebelum boleh didiami sepenuhnya.
Namun, tragedi yang meragut nyawa mendiang menyebabkan impian itu berubah menjadi kenangan paling memilukan buat keluarga.
John berkata, mendiang turut sering berkongsi perkembangan aktiviti hariannya, termasuk memaklumkan perjalanan ke Long Lellang pada hari kejadian.
“Update terakhir daripada dia, dia menghantar pesanan kepada saya melalui WhatsApp bahawa dia hendak terbang menuju ke Long Lellang.
“Itu adalah yang terakhir daripada dia dan mungkin tiga atau empat minit selepas itu, mereka terhempas,” katanya.
Debra, 40, merupakan antara lima mangsa yang maut dalam nahas helikopter BO-105 milik FDS berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.
Mendiang yang bertugas sebagai jururawat meninggalkan suaminya serta dua anak mereka, Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Suling, 12.
John menyifatkan isterinya sebagai seorang yang merendah diri, baik, berdedikasi dan jujur dalam menjalankan tugas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, ketua masyarakat serta seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan ucapan takziah yang diberikan kepada keluarganya.
Oleh Masrin Affirah





