PUNCAK BORNEO: Cuaca mendung yang menyelubungi Kampung Semadang pagi ini seolah-olah turut berduka bersama keluarga dan penduduk kampung yang berkumpul bagi mengiringi perjalanan terakhir mendiang Debra Moset, mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Baram.
Suasana hiba jelas terasa ketika jenazah mendiang dibawa dari rumah panjang keluarga ke Gereja St Patrick sebelum disemadikan di tanah perkuburan gereja berkenaan kira-kira 10.30 pagi tadi.
Kira-kira 500 ahli keluarga, saudara-mara, rakan sejawat, penduduk kampung serta wakil pelbagai agensi hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang dikenali sebagai jururawat berdedikasi dalam Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

Kepulangan mendiang ke kampung halaman kali ini turut menyimpan kisah yang cukup menyentuh hati apabila rumah baharu yang dibina hampir setahun lalu, yang sepatutnya menjadi tempat mendiang menikmati kehidupan bersama suaminya, John Then Hua Ken, 43, serta dua anak mereka, Euodia, 15, dan Eugene, 12, kini menjadi persinggahan terakhirnya sebelum disemadikan.
Untuk rekod, mendiang Debra, 40, merupakan antara lima mangsa yang terkorban selepas helikopter BO-105 milik FDS terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Baram, kira-kira 3.21 petang pada 8 September lalu.
Helikopter berkenaan berlepas dari Miri pada 10.21 pagi bagi menjalankan tugasan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.
Oleh Masrin Affirah





