1,596 pek bantuan air disalur kepada penduduk terjejas kemarau di Roban

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 1,596 pek bantuan air bersih dan minuman diagihkan kepada komuniti di 12 kawasan dalam pentadbiran Daerah Kecil Roban hari ini bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kemarau. Foto: APM Saratok

ROBAN: Sebanyak 1,596 pek bantuan air bersih dan minuman diagihkan kepada komuniti di 12 kawasan dalam pentadbiran Daerah Kecil Roban hari ini bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kemarau.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, agihan tersebut dilaksanakan sebagai langkah segera bagi memenuhi keperluan harian penduduk sementara menunggu bekalan air kembali pulih.

Menurutnya, operasi penghantaran bantuan bermula pada 11.30 pagi dan selesai pada 4.25 petang dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kecil Roban.

“Penghantaran bantuan air bersih dan minuman berjalan dengan lancar serta selamat, manakala kesemua isi rumah yang terlibat telah menerima pek minuman yang diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Antara kawasan yang menerima bantuan ialah Rumah Sulau Jingkat Ulu Roban sebanyak 228 pek, Rumah Lipa Sungai Jaong (96 pek), Rumah Kaya Sungai Pudu (70 pek), Rumah Maya Sungai Janggut (66 pek) dan Rumah Chaong Engkerumai (142 pek).

Turut menerima bantuan ialah penduduk Rumah Entengan Sungai Maboh sebanyak 58 pek, Rumah Unchu Melintang Roban (36 pek), Rumah Welson Api Kranggas Baru (82 pek), Rumah Tira Sungai Antu Baru (234 pek), Rumah Kedu Sungai Antu Baru (146 pek), Rumah Nangkai Panjang Atas (132 pek) dan Rumah Bandang Panjang Baroh A (180 pek).

Operasi itu turut membabitkan anggota APM, JKM, Pejabat Daerah Kecil Roban dan RELA, selain penggunaan kenderaan daripada agensi terlibat bagi memastikan proses penghantaran bantuan ke kawasan terjejas berjalan lancar.

Nur Athirah berkata, penyaluran bantuan air akan diteruskan pada hari berikutnya bagi memastikan keperluan penduduk yang terjejas akibat kemarau terus diberi perhatian.

Oleh Adi Safarman