KUALA LUMPUR: Pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, teater dan konsert membabitkan artis dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung bakal memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak pada Rabu ini.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata antara pengisian yang disediakan ialah persembahan pembukaan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur Segulai Sejalai’, selain persembahan silat, hadrah, gendang pampat, tarian singa dan teater pembentukan Malaysia.
Beliau berkata persembahan itu turut menampilkan artis popular tanah air, iaitu Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Stacy bersama lebih 50 artis tempatan Sarawak dengan gabungan elemen tradisional serta kontemporari.
Menurut Awang Putrayusrie, pengisian pada malam sambutan itu dirangka bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya serta kekuatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
“Simbolik perasmian sambutan dengan pemotongan kek pulut kuning, menandatangani Buku Khas Hari Malaysia, upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu Negaraku serta bacaan ikrar Rukun Negara turut diadakan pada malam sambutan berkenaan.
“Kalau di Sarawak, pemotongan pulut kuning ini adalah satu amalan untuk kami meraikan sesuatu kejayaan ataupun satu pencapaian,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Acara sambutan itu juga akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta upacara menandatangani Buku Khas Hari Malaysia.
Turut diadakan sempena sambutan Hari Malaysia bertemakan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ ialah pameran di Plaza Merdeka, Kuching dari 10 hingga 16 September bagi memberi peluang kepada masyarakat melihat kembali sejarah pembentukan Malaysia serta perjuangan pemimpin terdahulu.
Awang Putrayusrie berkata pengisian sambutan turut diperluaskan menerusi pameran mini di beberapa bahagian di Sarawak bagi membolehkan masyarakat di luar Kuching bersama-sama menghayati sambutan serta mengetahui sejarah pembentukan Malaysia.
“Sarawak setakat ini telah tujuh kali menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia, termasuk tahun ini.
“Kami akan beri komitmen yang terbaik untuk pastikan Hari Malaysia dapat disambut oleh semua di Sarawak, Sabah dan Semenanjung,” katanya.- Bernama




