SIMANGGANG: Kebakaran belukar membabitkan kawasan tanah gambut di Jalan Kejatau berjaya dikawal daripada merebak selepas operasi pemadaman dijalankan pasukan bomba bersama kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran Sri Aman, semalam.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.00 pagi semalam.
Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran benar-benar berlaku di beberapa lokasi dalam kawasan yang sama dengan api kelihatan bertompok-tompok, termasuk di sekitar kawasan yang telah dilaporkan.
Komander Operasi, PBK I Edwin Jonani, kemudian mengarahkan tindakan pemadaman selepas penilaian awal keadaan di lokasi dijalankan.
Operasi melibatkan satu aliran hos sepanjang kira-kira 304.8 meter yang dibahagikan kepada dua nozel bagi menjalankan pemadaman menggunakan pam angkut GP10/10.

Pasukan turut menggunakan sumber air terbuka dari parit yang telah dikorek oleh jengkaut milik kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman.
Dalam usaha menghalang api daripada merebak ke kawasan yang masih belum terbakar, kontraktor Jabatan Pengairan dan Saliran turut membantu dengan membina jalur pemutus api di sekitar kawasan terjejas.
Pasukan bomba menggunakan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dalam operasi berkenaan.
Bagaimanapun, operasi pemadaman ditangguhkan pada 6.00 petang berikutan keadaan cuaca mula gelap dan akan disambung semula pada keesokan hari bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat daripada ancaman api.
Oleh Adi Safarman




