Jerebu semakin reda, semua kawasan Sarawak bawah IPU 200

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 4.00 petang ini. Sumber NREB

KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak menunjukkan sedikit penambahbaikan setakat 4.00 petang ini apabila semua kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di bawah 200.

Lubok Antu mencatat bacaan tertinggi iaitu 196, menurun daripada 204 pada 12.00 tengah hari, sekali gus berubah daripada tahap sangat tidak sihat kepada tahap tidak sihat.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), enam kawasan mencatat bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu Lubok Antu (196), Serian (181), Tebedu (168), Sri Aman (166), Samarahan (153) dan Kuching (152).

Sementara itu, 13 kawasan berada pada tahap sederhana, iaitu Sarikei (63), Sibu (76), Mukah (60), Kapit (58), Bintulu (63), Samalaju (69), Miri (63), ILP Miri (59), Limbang (57), Lundu (90), Kanowit (77), Lawas (60) dan Betong (96).

Bario pula mencatat bacaan 41, kekal pada tahap baik.

Berbanding jam 12 tengah hari, bacaan Samarahan meningkat paling ketara daripada 105 kepada 153, diikuti Kuching daripada 138 kepada 152 dan Serian daripada 175 kepada 181.

Sebaliknya, Betong mencatat penurunan paling ketara daripada 152 kepada 96, sekali gus berubah daripada tahap tidak sihat kepada tahap sederhana.

Lubok Antu turut mencatat penurunan daripada 204 kepada 196, manakala Tebedu turun daripada 170 kepada 168 dan Sri Aman daripada 173 kepada 166.

Bacaan di Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Samalaju, Miri, Lundu dan Kanowit turut menurun berbanding tengah hari tadi.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 0 hingga 50 berada pada tahap baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat dan 201 hingga 300 sangat tidak sihat.

Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Oleh Shikin Mahmud