SPAOH: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban digesa untuk menolak kehadiran ‘ahli politik bermusim’.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, golongan berkenaan hanya muncul dalam setiap lima tahun dan bertindak menagih sokongan daripada pengundi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Pelancongan Berasaskan Komuniti bertempat di Rumah Enteri Lingkoi di Samu, Paku di sini semalam.
Timbalan Ketua Menteri yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah juga hadir sama pada program berkenaan.
Selain itu, Nancy pada program itu memberitahu penduduk DUN Bukit Saban sangat bertuah kerana mereka mempunyai seorang pemimpin berdedikasi dan komited seperti Uggah.
“Contohnya, seluruh kawasan Bukit Saban telah dihubungi dengan rangkaian jalan raya dan lain-lain projek pembangunan yang dibawa oleh beliau (Uggah) di situ.
“Di samping memberi fokus terhadap pelaksanaan projek pertanian moden, beliau juga ada memaklumkan kepada saya mengenai cadangan untuk membangunkan industri pelancongan yang dilihat mempunyai banyak potensi di sini,” katanya.
Sebagai seorang pemimpin yang sudah berkhidmat untuk tempoh yang lama dalam Kabinet Persekutuan, Uggah berkata, Nancy juga turut menyumbang banyak perkara berkaitan dengan kepentingan orang Sarawak dan negeri ini.
“Saya menganggapnya sebagai mentor dalam politik dan kualiti kepimpinan. Saya sudah pastinya kesal untuk kehilangannya terhadap golongan ahli politik bermusim pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.
“Justeru, marilah sama-sama memberi peluang kepada Uggah untuk terus memimpin kita dan seterusnya memacu proses pembangunan Sarawak ke satu tahap lebih tinggi pada masa akan datang. Berilah dia majoriti terbesar pada 18 Disember ini,” katanya.
Nancy memberitahu turut tertarik kepada persediaan Uggah yang kini mempunyai jentera pilihan raya yang kuat bagi menghadapi calon parti lawan pada PRN-12.
Beliau juga menasihatkan golongan wanita di DUN Bukit Saban untuk bersama berkempen bagi mempromosi Uggah dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri.
Terdahulu, Uggah dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kaum wanita DUN Bukit Saban yang beliau gambarkan sebagai penyokong yang paling gigih untuk dirinya dan GPS.
“Kaum wanita ini membentuk 50 peratus daripada 9,500 pengundi DUN Bukit Saban. Saya berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) dapat membantu menambah pendapatan mereka di kawasan ini.
“Ia termasuklah membantu melaksana aktiviti penenunan Pua Kumbu, penghasilan kraftangan dan sulaman tradisional,” katanya.
Uggah turut memohon bantuan Nancy untuk memajukan sektor pelancongan di kawasannya dan pusat pelancongan utamanya yang paling idea adalah bekas tapak Kem Pusat Latihan Khidmat Negara di Bukit Saban.
“Kem berkenaan kini kelihatan usang dan tidak terurus. Atas sebab itu adalah lebih baik jika ia dapat dibangunkan sebagai pusat menempatkan kemudahan untuk pelancong yang mahu melakukan aktiviti berperahu dan jejak denai di sini.
“Kita juga mempunyai beberapa rumah panjang tradisional di sini dan saya juga sedang mencari bantuan kementerian berkaitan untuk membangunkan Bukit Sadok yang pernah menempatkan kubu legenda milik pahlawan Rentap pada masa dulu,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG