Pertemuan rentas sempadan satukan kembali waris Inche Darat

Facebook
WhatsApp
WARIS Inche Brunei, Abidin.

NYALAU (Bintulu): Pertemuan keluarga rentas sempadan membabitkan waris dan keturunan Inche Darat dari Brunei Darussalam dan Kampung Nyalau di Bintulu menjadi wadah mengeratkan kembali hubungan persaudaraan yang terpisah sejak ratusan tahun lalu.

Pertemuan bertemakan Jejak Warisan Menyatu Keturunan itu bukan sahaja menghimpunkan sanak saudara dari dua negara, malah membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali susur galur serta sejarah keturunan keluarga mereka.

Menurut penganjur Abidin (Brunei) ketika ditemui berkata, pertemuan berkenaan telah dirancang sejak sekitar tiga bulan lalu sebelum direalisasikan hari ini dengan penyertaan waris dari Brunei dan Sarawak.

Katanya, hubungan kekeluargaan berkenaan tetap erat meskipun waris keturunan Inche Darat kini dipisahkan oleh sempadan negara, jarak dan tempat tinggal yang berbeza.

“Alhamdulillah, pertemuan yang telah lama dirancang ini akhirnya menjadi kenyataan dan kita dapat melihat sendiri keakraban serta kemesraan antara semua waris dan keturunan Inche Bendarat.

“Walaupun kita dipisahkan oleh sempadan negara dan tempat, malah terpisah selama beratus-ratus tahun, talian darah dan persaudaraan tetap menyatukan kita,” katanya.

Beliau berkata, seramai 128 waris dari Brunei Darussalam menyertai perjalanan ke Kampung Nyalau bagi menghadiri pertemuan berkenaan.

Menurutnya, rombongan berkenaan bertolak dari Brunei seawal 6.00 pagi dan tiba di Kampung Nyalau kira-kira 10.45 pagi.

Katanya, pertemuan tersebut turut menjadi peluang kepada waris dari kedua-dua negara untuk berkongsi cerita, mengenali antara satu sama lain dan menelusuri kembali sejarah keluarga yang menjadi penghubung antara Brunei Darussalam dan Sarawak.

Pertemuan itu diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan kekeluargaan serta warisan keturunan Inche Darat terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Oleh Adum Liu