Emas Adeola ceriakan kontinjen Malaysia di Aichi-Nagoya

Facebook
WhatsApp
ATLET karate wanita negara Adeola Fay Robert mempamerkan pingat emas pertama Malaysia yang dimenanginya pada aksi final Kumite bawah 55 kilogram (kg) di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Gimnasium Toyohashi, hari ini. Foto Bernama

NAGOYA: Kontinjen Malaysia menutup tirai hari keempat Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan satu pingat emas dan satu gangsa, selain mencatat beberapa keputusan penting dalam badminton dan sepak takraw.

Atlet karate negara Adeola Fay Robert mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya itu selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 pada final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi.

Kejayaan itu turut menamatkan penantian skuad karate wanita negara untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi 2014 di Incheon.

Dalam acara wushu pula, Tan Cheong Min menyumbang pingat gangsa menerusi acara gabungan nanquan dan nandao wanita selepas mengumpul 19.389 mata.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang meraih perak pada edisi Hangzhou 2022, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan sedikit kesilapan ketika mendarat dalam rutin nandao.

ATLET wushu, Tan Cheong Min mempamerkan aksi tangkas dalam acara akhir nanquan dan nandao wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi Prefectural Martial Arts Hall hari ini. Foto Bernama

Cabaran badminton menyaksikan skuad lelaki negara tersingkir di suku akhir selepas tewas 2-3 kepada Indonesia, meskipun perseorangan pertama Leong Jun Hao mencipta kejutan dengan menewaskan pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie.

Skuad badminton wanita turut terkandas di suku akhir selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan.

Pearly Tan-M. Thinaah mencetuskan kebangkitan negara apabila menewaskan pasangan nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee, namun gandingan muda Cheng Su Yin-Low Zi Yu gagal menyempurnakan kebangkitan itu apabila tewas dalam aksi penentuan 21-18, 11-21, 22-24.

Dalam sepak takraw, Malaysia mara ke separuh akhir acara regu berpasukan sebagai juara Kumpulan B selepas membelasah India 3-0.

Skuad negara yang sebelum itu turut menewaskan Jepun dan Filipina akan bertemu naib juara Kumpulan A, sama ada Korea Selatan atau Indonesia, pada Khamis.

Secara keseluruhan, kejayaan Adeola melonjakkan kutipan pingat Malaysia kepada satu emas dan tiga gangsa. Dua gangsa karate disumbangkan Thevendran Kaliana Sundram dan H. Sureeya Sankar pada hari pertama, manakala Cheong Min menambah satu lagi gangsa hari ini.

Esok, tumpuan akan beralih kepada beberapa acara termasuk skuasy perseorangan lelaki dan wanita yang membuka tirai saingan.

Beberapa acara yang berpotensi menyumbang pingat, termasuk karate dan e-sukan, turut akan berlangsung esok.- Bernama

Zidane mulakan tugas dalam era baharu Perancis

PARIS, Perancis: Zinedine Zidane bertahun-tahun menanti peluang untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Perancis dan pada Jumaat ini, pengganti Didier Deschamps sebagai

Sesko tarik diri daripada skuad Slovenia

LONDON, United Kingdom: Penyerang Manchester United, Benjamin Sesko, menarik diri daripada skuad Slovenia bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA selepas tidak