KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menerusi kenyataan hari ini, AGC memaklumkan perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Berhubung dengan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 22 September 2026 mengenai penggantungan tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri yang berkuat kuasa serta-merta, jabatan ini berpandangan bahawa MMK Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang kedua-dua jawatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS, iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dalam kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim mengumumkan penggantungan tugas SUK Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Muzalmah Mustapha Kamal yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau turut mengumumkan bahawa Pegawai Kewangan Negeri Datuk Masri Razali dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga penyandang baharu bagi jawatan itu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara manakala peguam bela dan peguam cara Fahmi Adilah akan menjalankan tugas memberikan nasihat perundangan sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu dinamakan oleh AGC.- Bernama




