KUCHING: Syarikat berkaitan kerajaan (SOE) Sarawak disasar menjana tambahan hasil sebanyak RM9.62 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan transformasi fasa kedua.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata selain tambahan hasil, inisiatif berkenaan turut diunjurkan menghasilkan RM1.6 bilion tambahan Keuntungan Selepas Cukai Terlaras serta RM1.27 bilion dividen antara 2027 hingga 2030.
“Sasaran itu membabitkan 32 badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan merentasi 17 sektor dengan mandat, model perniagaan dan cabaran yang berbeza.
“Ini adalah angka unjuran, bukan pencapaian. Nilai sebenar bergantung kepada sejauh mana ia dapat diterjemahkan kepada keputusan dan hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri Sarawak Fasa 2 di sini, hari ini.
Tambah beliau, setiap entiti perlu meningkatkan prestasi berdasarkan kedudukan dan keupayaan masing-masing, tanpa bergantung hanya kepada syarikat besar seperti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
“Peningkatan RM5 juta bagi sesebuah entiti juga boleh dianggap signifikan bergantung kepada mandat, keupayaan dan kedudukan asalnya.
“Jika anda mengenal pasti sumber hasil baharu, usahakan. Jika ada kos yang boleh dikurangkan, kurangkan.
“Jika ada aset yang boleh dikomersialkan, buka nilainya. Jika ada pasaran baharu, terokainya,” jelasnya.
Beliau mengulas lanjut, matlamat transformasi bukan sekadar memastikan SOE mampu bertahan, sebaliknya membina syarikat yang lebih kukuh, produktif dan mampu menyumbang lebih besar kepada pembangunan Sarawak.
“SOE berorientasikan komersial perlu mengukuhkan hasil, meningkatkan produktiviti, mengurus kos dan mengoptimumkan aset bagi mengurangkan kebergantungan yang tidak perlu terhadap sokongan kerajaan.
“Transformasi itu akhirnya perlu menghasilkan perniagaan yang lebih kukuh, sumber hasil baharu, produktiviti lebih tinggi, penggunaan teknologi yang bermakna serta pulangan lebih baik kepada Sarawak,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah




