Anak syarikat kerajaan Sarawak yang tidak lagi diperlukan boleh digabung atau ditutup – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN Ikrar Komitmen dan Pelan Tindakan SOE bagi tempoh 2027–2030 oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Sarawak bersedia mempertimbang penstrukturan semula, penggabungan, pelepasan pelaburan atau penutupan anak syarikat milik kerajaan yang tidak lagi mempunyai tujuan strategik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata setiap subsidiari dan pelaburan kerajaan perlu mempunyai justifikasi yang jelas termasuk menyokong mandat syarikat induk, mewujudkan nilai, menyediakan keupayaan khusus atau membuka peluang strategik.

Katanya, perkara itu menjadi antara fokus dalam usaha merasionalisasikan portfolio syarikat berkaitan kerajaan (SOE) Sarawak menerusi transformasi fasa kedua.

“Setiap subsidiari dan pelaburan mesti mempunyai alasan strategik yang jelas.

“Jika kriteria itu tidak dipenuhi, kita perlu mempertimbangkan tindakan yang sesuai, sama ada penstrukturan semula, penggabungan, pelepasan pelaburan atau, jika perlu, penutupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Syarikat Milik Kerajaan Negeri Sarawak Fasa 2 di sini, hari ini.

Tambah beliau penilaian turut mengenal pasti beberapa subsidiari yang dorman, tidak aktif dan berprestasi rendah untuk diberi perhatian.

“Kita tidak sepatutnya terus mengekalkan sesebuah entiti hanya kerana ia pernah mempunyai tujuan.

“Rasionalisasi portfolio bukan bermaksud mengecilkan organisasi semata-mata, sebaliknya membolehkan modal dan tenaga kerja ditumpukan kepada bidang yang mempunyai kelebihan sebenar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat pertimbangan awal untuk menggabungkan beberapa badan berkuasa pelabuhan di bawah Sarawak Ports Authority (SARPA).

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan berkenaan masih pada peringkat awal dan memerlukan kajian kebolehlaksanaan, usaha wajar serta penilaian terperinci.

“Jika struktur sedia ada masih yang terbaik untuk SOE Sarawak, kukuhkannya. Jika boleh diperbaiki, perbaikinya.

“Jika dua organisasi boleh mencipta nilai lebih besar dengan bekerjasama, satukan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata keputusan berhubung struktur SOE tidak seharusnya dibuat berdasarkan sentimen, sebaliknya berpandukan kepentingan jangka panjang setiap entiti dan Sarawak secara keseluruhannya.

Oleh Masrin Affirah