KUCHING: Sarawak berharap perkara yang telah dibincangkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beliau bagaimanapun tidak mahu mendahului pembentangan belanjawan berkenaan termasuk berkaitan suntikan dana kepada syarikat milik kerajaan negeri.
“Harapan kita supaya apa yang telah dibincangkan dalam MA63 dapat dilaksanakannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Program Transformasi Syarikat Berkaitan kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai suntikan dana dan peruntukan yang dijangka diterima, Abang Johari berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan pembentangan Perdana Menteri kelak.
“Kemungkinan Syarikat berkaitan kerajaan (SOE) diberi penekanan menerusi Belanjawan 2027 juga hanya boleh diketahui selepas belanjawan dibentangkan.
“Kita hendak mengenal pasti apa bajet, SOE yang mungkin ditekankan, suntikan dana daripada bajet.
“Tunggu bajetlah pembentangan belanjawan. Belum bajet,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah





