BAU: Sebanyak tiga saman trafik dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dalam operasi rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan lalu lintas di beberapa laluan utama di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman, berkata operasi itu meliputi Jalan Bau-Kuching, Jalan Bau-Serikin, Jalan Bau-Batu Kawa, Jalan Bau-Lundu, Jalan Jambusan, Jalan Siniawan serta sekitar pekan Bau.
Menurutnya, operasi tersebut memberi tumpuan kepada penguatkuasaan lalu lintas, rondaan pencegahan kemalangan serta membanteras aktiviti samseng jalanan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.

“Dua anggota ditugaskan dalam operasi itu. Sebanyak 26 kenderaan dan 30 individu telah diperiksa, manakala tiga saman Pol.257 dikeluarkan menerusi sistem MCOP/MCAD,” katanya.
Mohd Haide berkata, BSPTD IPD Bau akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya kerana keselamatan bermula dengan sikap setiap pengguna jalan raya.
Oleh Connie Chieng




