

MIRI: Kerajaan akan memastikan Bazar Ramadan kekal sebagai acara tahunan sebagai usaha memperkasakan usahawan tempatan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan perkara ini ketika melakukan lawatan ke Bazar Ramadan Permyjaya yang kini beroperasi di hadapan Cawangan Bank Rakyat Permyjaya hari ini.
Menurut beliau, penganjuran bazar ini bukan sekadar memberi peluang kepada usahawan kecil untuk menjana pendapatan, tetapi juga menjadi platform penting dalam mengukuhkan hubungan antara komuniti setempat.
“Tahun ini, lokasi bazar dipindahkan dari PermyMall ke kawasan baharu, dan kita melihat sambutan yang sangat positif.
“Peniaga dan pengunjung menerima perubahan ini dengan baik, menunjukkan bahawa langkah ini memberi kesan positif kepada perniagaan tempatan,” katanya.
Semasa lawatannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkenaan turut menyantuni para peniaga dan membeli pelbagai juadah.
Orang ramai diminta agar terus menyokong bazar itu dan membantu peniaga kecil meraih pendapatan lebih baik sepanjang Ramadan.
Lawatan tersebut membuktikan usaha kerajaan dalam memajukan ekonomi setempat serta menjadikan Bazar Ramadan Permyjaya sebagai platform yang terus berkembang dan dinantikan oleh komuniti setiap tahun.-UKAS