Sukan SEA 2027 pemangkin pembangunan sukan Sarawak

Facebook
WhatsApp
GIMIK…Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama tetamu menyempurnakan gimik pelancaran laman web rasmi Sukan SEA 2027 pada Majlis Hitung Detik Setahun Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di Kuching, malam ini. Foto Norman B

KUCHING: Penganjuran bersama Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 bakal menjadi pemangkin kepada fasa seterusnya pembangunan sukan Sarawak, sekali gus memperkukuh ekosistem sukan negeri dalam jangka panjang.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peluang menjadi penganjur bersama temasya dwitahunan itu bukan sekadar untuk memastikan pertandingan dapat dikendalikan dengan baik, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi membangunkan keseluruhan ekosistem sukan.

Menurutnya, pembangunan itu merangkumi aspek akar umbi, persediaan atlet, kejurulatihan, sains sukan, kepakaran teknikal serta pengurusan acara.

“Kita mahu Sukan SEA 2027 menjadi pemangkin kepada fasa seterusnya pembangunan sukan di Sarawak.

“Temasya ini juga perlu memberi inspirasi kepada generasi baharu Sarawak untuk melibatkan diri dalam sukan, memasang impian lebih besar dan percaya bahawa mereka juga mampu bersaing pada peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hitung Detik Setahun Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di Kuching, malam ini

Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, pengalaman Sarawak menganjurkan pelbagai kejohanan berskala besar termasuk Sukan Sarawak (SUKSAR), Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dan Borneo Games 2025 telah membantu negeri ini membina kepakaran serta meningkatkan keupayaan penganjuran.

AMANAT…Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan amanat pada Majlis Hitung Detik Setahun Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di Kuching, malam ini. Foto Norman B

Katanya, pengalaman berkenaan turut meningkatkan kemudahan dan keyakinan Sarawak untuk mengendalikan pertandingan berskala besar menjelang tanggungjawab sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menurut beliau, persiapan temasya itu melibatkan peningkatan beberapa venue sukan selain aspek infrastruktur, teknologi, logistik, keselamatan, perkhidmatan perubatan, pengangkutan dan penginapan.

“Kemudahan yang kita tingkatkan, kepakaran yang kita bangunkan dan sistem yang diwujudkan perlu terus memberi manfaat kepada atlet, persatuan sukan serta masyarakat untuk tempoh yang panjang.

“Nilai sebenar penganjuran Sukan SEA bukan hanya diukur melalui apa yang berlaku sepanjang temasya berlangsung, tetapi juga legasi yang ditinggalkan selepas acara terakhir berakhir,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, penganjuran temasya berkenaan turut menjadi platform penting untuk memperkenalkan Sarawak kepada khalayak lebih luas, khususnya menerusi upacara pembukaan Sukan SEA 2027 yang dijadual berlangsung di Stadium Sarawak.

Katanya, kehadiran atlet, pegawai, penyokong dan pengunjung dari seluruh rantau memberi peluang untuk mengetengahkan bukan sahaja kemudahan sukan, malah budaya, kepelbagaian dan keunikan Sarawak, di samping membuka peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan.

Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan Sarawak menjadi penganjur bersama Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 18 jenis sukan iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, e-sukan, golf, lawn bowls, memanah, menembak, muay, petanque, skuasy, tenpin boling, tenis, taekwondo, wushu, kriket, gimnastik dan dance sport.

Secara keseluruhan, temasya itu akan mempertandingkan 43 jenis sukan dengan upacara pembukaan berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching.

Oleh Norman B