Pusat Komuniti Bidayuh Bau dijangka siap suku pertama 2028

Facebook
WhatsApp
DATO Henry Harry Jinep meninjau perkembangan kerja pembinaan Pusat Komuniti Bidayuh di Bau Golden Square bagi memastikan projek berkenaan berjalan mengikut perancangan. Foto UKAS.

BAU: Projek pembinaan Pusat Komuniti Bidayuh bernilai RM18 juta di Bau Golden Square dijangka siap pada suku pertama 2028.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Dato Henry Harry Jinep, meninjau perkembangan projek berkenaan menerusi lawatan kerja ke tapak tersebut hari ini, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru turut meneliti perkembangan kerja pembinaan bagi memastikan projek itu berjalan mengikut perancangan.

Projek yang terletak di Plot 36, Blok 1, Bau Golden Square itu dibangunkan di atas kawasan seluas 582 meter persegi dengan Majlis Daerah Bau (MDB) bertindak sebagai agensi pelaksana.

Pusat komuniti berkenaan bakal menyediakan ruang serbaguna yang selesa dan kondusif bagi kegunaan penduduk kampung untuk menjalankan pelbagai aktiviti, termasuk program kemasyarakatan serta kegiatan komuniti.

Lawatan tersebut turut memberi tumpuan kepada perkembangan pelaksanaan projek bagi memastikan kerja pembinaan mencapai sasaran siap yang ditetapkan.

Oleh Afiq Sallehi