KUCHING: Masalah tekanan air rendah yang menjejaskan peniaga di Pusat Makanan Kenyalang di sini ditangani menerusi kerja menaik taraf dan menyambung semula bekalan oleh Sarawak Water hari ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, pihaknya bekerjasama dengan Sarawak Water selepas menerima aduan daripada peniaga mengenai tekanan air yang rendah, terutama selepas 5.00 petang.
Beliau berkata, selepas menerima aduan itu bulan lalu, beliau bersama beberapa Ahli Majlis dan kakitangan MBKS turun meninjau lokasi bagi mengenal pasti punca masalah.
“Namun, usaha meningkatkan tekanan air tidak menyelesaikan masalah kerana bekalan masuk ke kawasan berkenaan tidak mencukupi,” katanya.
Susulan itu, MBKS mengadakan perbincangan lanjut dengan Sarawak Water minggu ini sebelum satu penyelesaian sementara dipersetujui bagi menyambung bekalan menerusi sambungan sedia ada berhampiran Pusat Makanan Kenyalang.
Kerja berkenaan dilaksanakan Sarawak Water hari ini termasuk menggantikan dan memasang titik sambungan yang diperlukan.
Kerja itu menyebabkan bekalan air ke pusat penjaja berkenaan serta deretan kedai berhampiran terganggu sementara dari 10.00 pagi hingga 3.00 petang.
Wee turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water kerana menyediakan sokongan bekalan air kepada peniaga serta pengusaha makanan dan minuman yang terjejas sepanjang tempoh gangguan.
Selepas kerja selesai, beliau kembali ke lokasi bagi memeriksa keadaan bekalan air serta mendapatkan maklum balas daripada peniaga.
“Saya kembali selepas kerja selesai kerana mahu memastikan masalah itu benar-benar ditangani, bukan sekadar memastikan kerja sudah selesai,” katanya.
Menurutnya, peniaga memaklumkan tekanan air bertambah baik selepas kerja berkenaan dilaksanakan.
MBKS akan terus memantau keadaan serta bekerjasama dengan Sarawak Water sekiranya timbul sebarang masalah lanjut.
“Peniaga kita bergantung kepada bekalan air yang boleh dipercayai untuk menjalankan perniagaan dan kita akan terus membantu mereka,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama dan kesabaran Sarawak Water, peniaga, peniaga kedai serta penduduk sepanjang kerja berkenaan dijalankan.
Oleh Afiq Sallehi



