KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM111,719 kepada SMK Pending di sini bagi menjayakan Projek Pending Prihatin: Transformasi Ruang Kerja Guru, Memperkasa Pendidikan Masa Hadapan.
Dr Yii berkata peruntukan itu akan digunakan untuk pembelian perabot baharu serta menaik taraf ruang kerja guru bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa, sistematik dan kondusif.
Beliau berkata ruang kerja yang sesuai amat penting dalam membantu guru melaksanakan tugasan profesional termasuk merancang pengajaran, menyediakan bahan pembelajaran, menjalankan pentaksiran serta menguruskan urusan berkaitan sekolah.
“Pada masa ini, ruang kerja guru di SMK Pending berdepan kekangan ruang, manakala sebahagian perabot tidak seragam dan telah digunakan sejak sekian lama.
“Keadaan ini menyebabkan ruang menjadi padat, pergerakan guru terbatas dan sebahagian guru terpaksa berkongsi meja yang kecil,” katanya.
Dr Yii berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk menyediakan set meja kerja guru yang seragam dan bersesuaian dengan keluasan ruang, menaik taraf kemudahan perabot serta mengoptimumkan susun atur ruang kerja supaya lebih sistematik dan efisien.
Beliau berharap penambahbaikan itu dapat meningkatkan keselesaan, kesejahteraan dan produktiviti guru, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan yang lebih kepada proses pengajaran dan pembelajaran demi manfaat murid.
Inisiatif berkenaan turut bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih teratur dan profesional untuk guru serta seluruh warga SMK Pending.




