KUCHING: Sarawak akan memberi perhatian terhadap aspek komunikasi bagi memastikan kelancaran urusan kontinjen antarabangsa sepanjang penganjuran Sukan SEA 2027 di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, khidmat penterjemah akan disediakan khususnya bagi membantu kontinjen dari negara Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Menurutnya, pegawai penghubung turut ditugaskan bagi mengurus, membantu dan membimbing setiap kontinjen sepanjang berada di Sarawak.
“Sudah tentu kita perlu menyediakan penterjemah kerana terdapat beberapa negara di Asia Tenggara yang mungkin tidak memahami bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
“Pegawai penghubung yang akan mengurus setiap kontinjen juga akan berada di situ untuk membantu dan membimbing mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kiraan Detik Setahun Menuju Sukan SEA 2027 Kluster Sarawak di sini, malam ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, persediaan turut melibatkan pembangunan Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) bersebelahan Bangunan Baitulmakmur yang kini berjalan lancar dan mendahului jadual.
Katanya, IBC memainkan peranan penting bagi memastikan data dan maklumat berkaitan temasya dapat disalurkan dengan lancar kepada negara terlibat serta khalayak antarabangsa.
Dalam pada itu, Kompleks Sukan Sarawak bukan sahaja akan menjadi antara lokasi utama pertandingan, malah dirancang sebagai kawasan tumpuan dengan pelbagai aktiviti sepanjang temasya.
Menurut Abdul Karim, antaranya termasuk Malaysian Kitchen serta ruang jualan produk dan barangan yang memberi peluang kepada usahawan mengetengahkan produk masing-masing.
Sukan SEA Ke-34 Malaysia 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan Sarawak menjadi penganjur bersama Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 18 jenis sukan, manakala upacara pembukaan temasya berkenaan akan berlangsung di Stadium Sarawak.
Oleh Norman B



