33 aktiviti menarik meriahkan sambutan HSN 2026 peringkat Negeri Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Gerald Rentap Jabu selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam. Foto: Edisi Kalaka

BETONG: Sebanyak 33 aktiviti sukan dan program sampingan disusun bagi memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung selama tiga hari, dari 16 hingga 18 Oktober depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sambutan berkenaan menyasarkan sekitar 21,000 penyertaan daripada masyarakat di seluruh Sarawak dengan Betong dipilih sebagai lokasi utama sambutan.

Beliau berkata, kemuncak sambutan akan berlangsung pada 17 Oktober dengan pelbagai aktiviti yang dirangka untuk menggalakkan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang tampil bersama-sama menyertai aktiviti kecergasan serta sukan.

“Kita mengharapkan masyarakat di Betong sama-sama datang untuk meraikan dan bersama-sama bersukan bagi meningkatkan kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pada masa yang sama, aktiviti ini dapat mengeratkan silaturahim dan perpaduan yang lebih harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan HSN peringkat Sarawak ditetapkan seminggu selepas sambutan HSN peringkat kebangsaan pada 10 Oktober 2026 bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Antara 33 aktiviti yang dirancang termasuk Khutbah Jumaat, perlawanan bola sepak persahabatan, HSN 2026 10KM Virtual Run, Pertandingan Aerobicthon Peringkat Bahagian Betong, sukaneka kanak-kanak dan ibu bapa, pertandingan pickleball, sukaneka OKU serta sukaneka warga emas.

Turut diadakan ialah pertandingan mewarna kanak-kanak dan warga emas, e-sport Mobile Legends, pertandingan dart, Betong Tech-Explorace, permainan tradisional seperti kaki tiga, batu seremban, sepak raga bulatan, ting-ting dan galah panjang, selain pertandingan jenis ikatan tali.

Aktiviti lain termasuk demonstrasi walking football, pameran dan saringan kesihatan percuma, pameran interaktif agensi kerajaan, Jualan Ria Madani, pameran industri sukan, Program Usahawan Belia serta Klasikal & 3D Hunting Archery Invitation 2026.

Acara turut dimeriahkan dengan tarik tali, street soccer, Kejohanan Sepak Takraw Komuniti Betong, pertandingan futsal terbuka, Jom Berambeh Nyetik 2026, Kejohanan Sepak Takraw Terbuka serta Pertandingan Bola Jaring Tertutup Bahagian Betong.

HSN 2026 Peringkat Sarawak akan berpusat di Dewan Panglima Rentap, Betong dengan acara teras merangkumi Majlis Perasmian HSN 2026 Peringkat Negeri Sarawak, Larian Ria Madani sejauh dua kilometer dan Berjalan Ria Madani sejauh dua kilometer.

Gerald berkata, penganjuran HSN 2026 antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bersukan bagi membentuk komuniti yang cergas, aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, HSN turut memberi ruang untuk meningkatkan pengetahuan mengenai sukan, mengiktiraf penglibatan rakyat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Pada masa sama, penganjuran tersebut turut menyokong pembangunan ekonomi melalui perkembangan industri sukan serta mengetengahkan konsep Malaysia Madani, sukan baharu dan sukan rakyat sebagai medium penyatuan, kesejahteraan serta memupuk prinsip saling menghormati.

Oleh Adi Safarman

Bakar sampah, api merebak ke rumah

MIRI: Tindakan membakar sampah hampir mengundang padah apabila api merebak ke sebuah rumah di Taman Fuu Tee, Lorong 5, di