PETRA JAYA: Tayangan video khas berjudul ‘Dari Rimba Ke Astana’ diadakan pada Majlis Jamuan Negeri bagi meraikan Hari Lahir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Ja’afar ke-78 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam tadi.
Video itu memaparkan perjalanan hidup Tun Wan Junaidi sebelum bergelar Yang di-Pertua Negeri.
Majlis penuh gilang-gemilang itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tanah air iaitu Herman Tino, Dayang Nurfaizah, Bob Yusuf, Gab, Mel Imran, Firdaus Materang dan Claudia serta persembahan khas daripada Bunga Citra Lestari.
Pada majlis tersebut, Tun Wan Junaidi memotong kek hari jadi yang turut disaksikan oleh isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, diringi lagu Selamat Hari Jadi.
Hadir sama memeriahkan acara tersebut ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Turut serta Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof; Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain.
Sebelum beredar dari majlis, Tun Wan Junaidi serta dif-dif kenamaan turut dipersembahkan dengan persembahan bunga api.