KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kanowit terus meningkat kepada 210 setakat 4.00 petang ini, sekali gus berada pada kategori sangat tidak sihat.
Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan itu merupakan yang tertinggi direkodkan di Sarawak, manakala Kuching mencatatkan IPU 175 dan Samarahan 168, kedua-duanya dalam kategori tidak sihat.
Serian pula merekodkan IPU 165, diikuti Sibu 164, Bintulu 161, Sarikei 157, Sri Aman 154 dan Kapit 153.
Turut berada pada kategori tidak sihat ialah Betong dengan bacaan 167, Lundu (139), Tebedu (125), Mukah (110) dan Lubok Antu (104).
Sementara itu, Samalaju mencatatkan bacaan 98, Miri 82, ILP Miri 69, Lawas 62 dan Limbang 56, yang semuanya berada pada kategori sederhana.
Bario pula merekodkan bacaan IPU 50, iaitu pada had atas kategori baik.
Berdasarkan skala IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter paling dominan.
Orang ramai dinasihatkan terus memantau bacaan IPU dan mengehadkan aktiviti di luar, terutama golongan rentan, susulan keadaan kualiti udara yang masih terjejas.
Oleh Afiq Sallehi





