KUCHING: Kanowit kekal menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, dengan bacaan 203 setakat 8.00 malam ini.
Bacaan itu bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 210 yang direkodkan di kawasan berkenaan pada 4.00 petang tadi, namun masih berada pada kategori sangat tidak sihat.
Kuching pula merekodkan IPU (172), diikuti Serian dan Betong masing-masing (167), Samarahan (166) serta Sibu (161), yang kesemuanya berada pada kategori tidak sihat.
Bintulu mencatatkan bacaan (160), Sri Aman (157), Sarikei (156), Kapit (153) dan Lundu (140).
Turut berada pada kategori tidak sihat ialah Mukah dengan IPU (118), Tebedu (112), Samalaju (110) dan Lubok Antu (106).
Sementara itu, Miri merekodkan bacaan IPU (85), ILP Miri (70), Lawas (67) dan Limbang (59), masing-masing pada kategori sederhana.
Bario pula mencatatkan bacaan (33), iaitu kategori baik.
Berdasarkan skala IPU, bacaan (101) hingga (200) dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala (201) hingga (300) berada pada tahap sangat tidak sihat.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter paling dominan.
Orang ramai dinasihatkan supaya terus memantau bacaan IPU dan mengehadkan aktiviti di luar, terutama golongan rentan, susulan kualiti udara yang masih terjejas di kebanyakan kawasan.
Oleh Afiq Sallehi




