KUCHING: Pengurusan bencana tidak boleh dipikul oleh satu profesion atau negara sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama merentas sektor dan sempadan bagi memastikan tindak balas terhadap krisis dapat dilaksanakan dengan berkesan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, bencana tidak mengenal sempadan dan boleh merangkumi pelbagai bentuk ancaman termasuk kejadian berkaitan perubahan iklim, jerebu rentas sempadan, kemarau, penyakit berjangkit, bencana teknologi serta kecemasan kemanusiaan.
Katanya, tiada satu profesion atau negara yang mampu mengurus kesemua cabaran tersebut secara bersendirian.
“Jadi, kita perlu bekerjasama dan memahami keupayaan setiap pihak supaya apabila komuniti memerlukan bantuan, kita tahu siapa yang boleh membantu dan bagaimana kita boleh bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Antarabangsa Ke-9 Persatuan Sedunia Kejururawatan Bencana (WSDN) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Menurutnya, pembinaan jaringan dalam pengurusan bencana bukan sekadar bertukar kenalan atau maklumat, sebaliknya yang lebih penting ialah membina kepercayaan antara pihak yang terlibat.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata kepercayaan memerlukan masa untuk dibina menerusi pertemuan dan kerjasama berterusan, namun hubungan yang diwujudkan perlu mampu bertahan walaupun berlaku perubahan kepimpinan.
“Jaringan bukan sekadar bertukar kenalan. Ia adalah mengenai kepercayaan.
“Kepercayaan mengambil masa dan banyak pertemuan untuk dibina, tetapi seorang individu boleh merosakkannya. Sebab itu kita perlu memastikan jaringan ini boleh terus berfungsi walaupun berlaku perubahan kepimpinan,” ujarnya.
Dr Sim menegaskan kerjasama sedemikian amat penting kerana pengurusan bencana turut melibatkan pelbagai pihak termasuk profesional kesihatan, perkhidmatan kecemasan, agensi kerajaan, penyelidik, pakar teknologi, organisasi kemanusiaan, sukarelawan dan komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian pengalaman serta kepakaran tempatan dalam menghadapi bencana yang mempunyai ciri tersendiri mengikut geografi dan persekitaran sesebuah kawasan.
Jelasnya, pendekatan terhadap sesuatu bencana tidak semestinya boleh diseragamkan kerana keadaan setempat, termasuk faktor geografi, iklim dan bentuk muka bumi, perlu diambil kira.
“Kadang-kadang kita mempunyai teknologi dan sumber, tetapi kita juga perlu mengetahui keadaan tempatan.
“Dalam menangani kebakaran tanah gambut misalnya, kita memerlukan pengetahuan tempatan kerana keadaan tanah dan cara api merebak mungkin berbeza daripada tempat lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap persidangan WSDN bukan sekadar menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, tetapi turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan dan kerjasama baharu yang boleh diterjemahkan kepada tindakan praktikal.
Dr Sim berkata, matlamat akhirnya adalah memastikan masyarakat lebih bersedia, berdaya tahan dan mampu menghadapi bencana dengan lebih baik.
“Saya berharap persidangan ini bukan sahaja berjaya dari segi akademik, tetapi dapat membentuk perkongsian baharu dan inisiatif praktikal untuk menjadikan komuniti kita lebih selamat dan berdaya tahan,” ujarnya.
Oleh Adele Rissa





