KUCHING: Tapak seluas 20 ekar di Semenggok, Batu 12 Jalan Kuching-Serian telah dikenal pasti bagi pembinaan ibu pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Pengerusi MPP, Tan Kai memberitahu fasa pembinaan bagi ibu pejabat MPP yang baharu tersebut berkemungkinan akan bermula dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
Menurutnya, ibu pejabat baharu MPP tersebut kini masih dalam peringkat reka bentuk.
“Meskipun Kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM60 juta bagi pelaksanaan projektersebut namun, ia akan emngambil sedikit masa untuk memulakan kerja-kerja pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPP, di sini, hari ini.
Difahamkan, kompleks pejabat baharu itu juga bakal memenuhi keperluan sektor pelancongan ekoran lokasinya yang strategik serta berdekatan dengan Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Borneo Highlands, Taman Rafflesia, Taman Biodiversiti dan Rumah Panjang Anah Rais.
“Selain itu, ibu pejabat MPP yang baharu ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan, auditorium dan fasiliti sukan,” tambahnya.
Sementara itu, Tan Kai memberitahu MPP memperkenal Sistem Kaunselor Penduduk (RCS) sebagai usaha untuk memudahkan penugasan ahli majlis mengikut zon masing-masing.
Sehubungan itu, sepanjang dua penggal ini, MPP dibahagikan kepada 10 zon di mana terdapat setiap ahli yang akan bertanggungjawab terhadap sebarang isu yang dibangkitkan penduduk dalm zon masing-masing.
“Saya dan timbalan saya (Abang Ismawi Abang Ali) akan menjaga semua zon. Saya mahu mereka (ahli majlis) dikenali penduduk di kawasan di bawah bidang kuasa MPP.
“Kami berharap ahli majlis akan mendapatkan maklumat dan kekal dimaklumkan mengenai isu dalam kawasan zon masing-masing,” ujarnya yang turut menegaskan ahli majlis yang dilantik Kerajaan Sarawak perlu menjadi responden pertama kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk di zon yang ditugaskan.
Dalam perkembangan lain, MPP akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri pada 7 Mei ini di Dewan Komuniti Haji Baki, di sini.
Menurut Tan Kai, majlis tersebut akan bermula dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang dan akan dihadiri oleh Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Oleh RYNNA SHA’ERRA