KUCHING: Kejadian tanah jerlus berlaku di Sekolah Kebangsaan Satria Jaya, Taman BDC di sini, hari ini.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada 1.29 petang.
“Kejadian tersebut melibatkan kawasan di hujung bangunan kelas dengan keluasan kira-kira 6×6 kaki dan kedalaman lebih kurang satu meter.
“Selain itu, terdapat keretakan yang kelihatan pada parit simen sekolah.
“Namun begitu, tiada kecederaan atau mangsa dilaporkan dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pihak bomba hanya membuat pemantauan di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, beberapa guru telah bertindak pantas dengan memasang tali sawar-sawar bagi mengelak sebarang kemalangan sebelum ketibaan pasukan bomba.