SARIKEI: Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, meneruskan tradisi kunjungan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 dengan mengunjungi kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing, hari ini.
Dr Sim yang ditemani isteri, Datin Amar Enn Ong Siok Ean, tiba di kediaman Koung Hiing di Lorong Jelutong Barat sekitar 10.40 pagi dan disambut mesra oleh Koung Hiing serta isterinya, Datin Kueh Nai Fun.
Sepanjang kunjungan tersebut, pemimpin SUPP itu mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan Koung Hiing serta tetamu yang hadir.
Kemesraan sambutan diserikan lagi dengan menggaul Yee Sang, simbolik kepada keberkatan dan kemakmuran pada TBC.
Selesai kunjungan di kediaman Koung Hiing, Dr Sim dan rombongan meneruskan kunjungan ke kediaman Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) yang juga Pengerusi SUPP Julau, Kaunselor Danny Banjang.
Selepas itu, beliau bersama rombongan berkunjung ke kediaman Kapitan Kong Sing Ping di Sibu.
Dijangka selepas kunjungan tersebut, beliau akan turut mengadakan kunjungan ke Tokong Tua Pek Kong, Sibu yang merupakan antara pusat keagamaan dan budaya masyarakat Tionghoa di kawasan berkenaan.
Oleh Earl Anek