KUCHING: Satu unit mungkin ditubuhkan untuk menyelia dan menjaga kedua-dua Tapak Warisan Arkeologi Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sekiranya terdapat keperluan, kementeriannya akan mempertimbangkan penubuhan unit tersebut bagi menjaga dan menyelia Kompleks Gua Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu.
Bagaimanapun katanya, ketika ini penubuhan unit tersebut belum dibincangkan.
“Pada masa ini belum ada dimaklumkan tetapi kemungkinan kalau perlu kita akan buat seperti itu (menubuhkan unit).
“Pada masa ini, yang mengawasi dan menjaga kedua-dua tempat warisan UNESCO adalah Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan tentu saja, kementerian saya,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Acara ‘What About Kuching (WAK), Call Of The Tribes’ di The Old Courthouse, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT