Sarawak kekal inklusif, tiada perbezaan antara kaum – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
RASMI...Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memetik alat muzik sape simbolik merasmikan Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau, di Miri, hari ini.

MIRI, 7 November: Perpaduan dan semangat kerjasama antara kaum serta masyarakat pelbagai etnik perlu terus dipelihara bagi memastikan Sarawak kekal aman, stabil dan mampu membangunkan negeri untuk masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat kerjasama itu bukan sahaja perlu melibatkan masyarakat Orang Ulu, malah seluruh komuniti yang tinggal di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, kekuatan Sarawak terletak pada sikap saling menghormati budaya, kepercayaan dan cara hidup masyarakat berbilang kaum tanpa mewujudkan sebarang perbezaan.

Katanya, keharmonian itu menjadi asas kepada kestabilan politik negeri, sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada perancangan pembangunan jangka panjang.

“Di Sarawak, kita bekerjasama dan saling menerima antara satu sama lain. Kita tidak membezakan kaum atau latar belakang kerana kita semua adalah sebahagian daripada masyarakat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau, di sini, hari ini.

MENANDATANGANI…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani plak semasa hadir pada merasmikan Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau, di Miri, hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak mengamalkan pendekatan inklusif kerana masyarakatnya tidak membezakan antara satu sama lain, sebaliknya saling menerima dan menghormati agama serta kepercayaan masing-masing.

Malah, katanya, penggunaan kalimah Allah bukan satu masalah di Sarawak kerana masyarakat negeri ini memahami dan menghormati kepelbagaian agama serta budaya.

Abang Johari berkata, keterbukaan masyarakat Sarawak turut membolehkan semua kaum hidup bersama, menjalinkan persahabatan dan membina hubungan kekeluargaan tanpa mengira latar belakang.

Beliau menegaskan pembangunan dan kemajuan Sarawak perlu dipacu oleh rakyat negeri ini sendiri melalui semangat kebersamaan serta tanggungjawab bersama.

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mempertahankan keharmonian, sikap keterbukaan dan perpaduan yang menjadi identiti serta kekuatan Sarawak.

“Beginilah cara kita hidup di Sarawak. Kita perlu melindungi dan mempertahankan keharmonian ini,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Dr Annuar gesa rakyat tolak naratif perkauman

SIBU, 7 November: Rakyat Sarawak perlu menolak sebarang naratif perkauman yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat, khususnya menjelang Pilihan