PRN Sarawak: Mampukah GPS bentuk kerajaan sebelum hari mengundi?

Facebook
WhatsApp

KUCHING, 27 Nov: Dalam sejarah politik Malaysia, kemenangan tanpa bertanding bukan perkara baharu, malah pernah menyaksikan sebuah gabungan politik menguasai keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa melalui proses pengundian.

Peristiwa itu berlaku di Sabah pada Pilihan Raya Negeri 1971 apabila gabungan Perikatan Sabah memenangi kesemua 32 kerusi DUN tanpa bertanding. USNO memperoleh 28 kerusi manakala Persatuan Cina Sabah (SCA) memenangi empat kerusi.

Persoalannya kini, mampukah GPS mencipta satu lagi sejarah politik Sarawak dengan memperoleh majoriti mudah sebelum hari pengundian menerusi kemenangan tanpa bertanding, atau kemunculan calon Bebas dan parti-parti tempatan bakal mengubah senario persaingan pada PRN kali ini?

Perkembangan itu susulan keputusan beberapa parti politik nasional, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) untuk tidak meletakkan calon.

Keputusan PKR Sarawak pada 24 November lalu dibuat atas dasar menghormati kerjasama politik bersama GPS dalam Kerajaan Perpaduan, selain mengekalkan kestabilan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya dalam pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

GPS yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula mengumumkan kesemua 82 calonnya pada 25 November, termasuk 11 muka baharu. Pada PRN 2021, gabungan itu memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN.

Bagaimanapun, persaingan kali ini masih menyaksikan penyertaan beberapa parti tempatan apabila Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mengumumkan 26 calon, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 14 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 12 calon dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga calon.

Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) turut mengumumkan Jileng Kion sebagai calon di Opar.

DAP sebelum ini menambah dua kerusi, iaitu Bawang Assan dan Senadin, menjadikan jumlah keseluruhan 14 kerusi.

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kemungkinan calon GPS menang tanpa bertanding susulan keputusan PKR tidak menyertai pilihan raya.

Calon Bebas turut mengubah persaingan

Perkembangan terbaharu turut menyaksikan penyandang ADUN Ngemah, Anyi Jana mengumumkan keluar daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan bertanding sebagai calon Bebas mesra GPS pada 26 November selepas tidak dipilih mempertahankan kerusi berkenaan.

Sehari kemudian, Wilson Entebang turut mengumumkan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di Simanggang selepas tidak terpilih sebagai calon GPS.

Wilson pernah bertanding di kerusi itu pada PRN 2021 atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB), tewas kepada calon GPS dengan majoriti hanya 175 undi.

Selain itu, Ketua Cabang PKR Lawas, Zahid Matserudin dilaporkan mempertimbangkan untuk bertanding sebagai calon Bebas di Bukit Sari, manakala dua lagi anggota PKR dari kawasan Baram turut dikaitkan dengan kemungkinan bertanding di Telang Usan dan Mulu.

Bagaimanapun, perkara itu masih memerlukan pengesahan rasmi.

44 kerusi tanpa pencabar diumumkan

Berdasarkan kompilasi pengumuman calon setakat 27 November, sebanyak 44 daripada 82 kerusi DUN belum mempunyai pencabar yang diumumkan secara terbuka.

Angka itu mewakili kira-kira 53.7 peratus daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan dan melebihi 42 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, ketiadaan pencabar yang diumumkan tidak semestinya bermaksud kemenangan tanpa bertanding kerana calon Bebas atau parti lain masih boleh mengemukakan pencalonan pada hari penamaan calon esok.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun pada 27 November mengesahkan perkara berkaitan kemungkinan GPS memperoleh majoriti mudah selepas penamaan calon telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penelitian.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual sehingga malam 26 November, manakala 40 bakal calon telah menjelaskan deposit.

Proses penamaan calon akan berlangsung di 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak dari 9 pagi hingga 10 pagi esok.

Rekod sejarah Sarawak turut menjadi perhatian

Sarawak sendiri pernah menyaksikan kemenangan tanpa bertanding dalam jumlah besar apabila BN memenangi 19 daripada 62 kerusi DUN pada PRN 1996, iaitu rekod tertinggi sejak pilihan raya negeri secara langsung diperkenalkan pada 1969.

Pada PRN 2016 pula, dua calon BN, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan Datuk Dr Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota menang tanpa bertanding.

Bagaimanapun, kesemua 82 kerusi menyaksikan pertandingan pada PRN 2021.

Fenomena sama turut berlaku di Singapura pada 1968 apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew memenangi 51 daripada 58 kerusi Parlimen tanpa bertanding dan menguasai kesemua kerusi selepas memenangi tujuh lagi menerusi pengundian.

Di Bangladesh pada 2014 pula, sebanyak 153 daripada 300 kerusi Parlimen dimenangi tanpa bertanding susulan tindakan gabungan pembangkang memboikot pilihan raya.

Dalam konteks PRN Sarawak kali ini, kemenangan tanpa bertanding tetap memberikan calon kerusi secara sah, namun berbeza daripada mandat yang diperoleh menerusi peti undi kerana pengundi di kawasan berkenaan tidak melalui proses pengundian.

Justeru, hari penamaan calon esok bakal menjadi penentu sebenar sama ada GPS mampu memperoleh majoriti mudah sebelum hari pengundian, sekali gus mencatat perkembangan baharu dalam sejarah politik Sarawak.

Oleh Shahrul Qaizat