PETRA JAYA, 27 Nov: Sebelum melangkah ke medan perjuangan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu, penyandangnya, Azizul Annuar Adenan terlebih dahulu menziarahi pusara insan yang menjadi sumber inspirasi dan legasi perjuangannya, Allahyarham bapanya, Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, hari ini.
Ziarah di Tanah Perkuburan Islam Samariang itu membawa makna tersendiri buat Azizul Annuar, sehari sebelum berlangsungnya proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Di sebalik langkah menuju satu lagi perjalanan politik, pusara ayahanda menjadi persinggahan penuh keinsafan, seolah-olah mengingatkan bahawa perjuangan yang diteruskan hari ini berakar daripada pengorbanan dan amanah yang ditinggalkan semalam.
Bagi Azizul Annuar, kunjungan itu bukan sekadar amalan peribadi, sebaliknya menjadi ruang untuk mengenang nasihat, jasa serta semangat khidmat bakti Allahyarham dalam membela nasib rakyat, khususnya penduduk di Tanjong Datu.
“Setiap langkah perjuangan ini sentiasa berpandukan nasihat serta semangat khidmat bakti yang telah ditinggalkan oleh arwah ayahanda.
“Saya memohon doa daripada seluruh rakyat agar urusan penamaan calon esok berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya.
Untuk rekod, Allahyarham Tok Nan merupakan Ketua Menteri Sarawak kelima yang menerajui negeri ini dari 2014 sehingga pemergiannya pada 11 Januari 2017.
Sepanjang penglibatannya dalam politik, Allahyarham turut dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan hak serta autonomi Sarawak, selain menekankan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Allahyarham mula mewakili kerusi DUN Tanjong Datu pada Pilihan Raya Negeri 2006 sebelum mempertahankannya dalam pilihan raya 2011 dan 2016.
Pemergian Allahyarham pada 2017 menyaksikan isterinya, Datuk Amar Jamilah Anu mengambil alih kerusi berkenaan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu pada 19 Februari tahun sama, dengan kemenangan majoriti 6,443 undi.
Empat tahun kemudian, Jamilah memberi laluan kepada anak bongsunya, Azizul Annuar untuk meneruskan legasi keluarga itu apabila beliau dipilih sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN Sarawak ke-12.
Azizul Annuar yang ketika itu berusia 30 tahun berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan memperoleh 5,423 undi dan majoriti 4,502 undi, sekali gus meneruskan kesinambungan kepimpinan keluarganya di Tanjong Datu.
Berbekalkan latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi dari Murdoch University, Australia, beliau turut membawa aspirasi generasi baharu dalam meneruskan agenda pembangunan kawasan berkenaan.
Kini, menjelang satu lagi pilihan raya negeri, Azizul Annuar sekali lagi bersiap untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang ayahanda dan kemudian ibunya.
Selepas selesai menziarahi pusara berkenaan, beliau dijadualkan berangkat ke Lundu bagi membuat persiapan akhir bersama jentera parti dan para penyokong menjelang penamaan calon esok.
Buat seorang anak, perjalanan ke medan perjuangan kali ini pastinya membawa makna yang lebih mendalam, kerana di sebalik amanah yang ingin dipertahankan, tersimpan kenangan dan pesan seorang ayah yang jasanya terus hidup dalam ingatan.
Oleh Shahrul Qaizat




