DAP tanding 14 kerusi, tambah Bawang Assan, Senadin

Facebook
WhatsApp
CHONG Chieng Jen menyerahkan watikah kepada Alan Ling

KUCHING, 27 November: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak memuktamadkan senarai 14 calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan menambah kerusi Bawang Assan dan Senadin kepada 12 kerusi yang diumumkan sebelum ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, keputusan untuk bertanding di dua kerusi tambahan itu dibuat susulan pengumuman Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.

Katanya, jawatankuasa DAP negeri mengadakan perbincangan sebelum memutuskan untuk meletakkan calon di kedua-dua kawasan berkenaan bagi mengurangkan kemungkinan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding.

Dua calon tambahan itu ialah Alice Lau Kiong Yieng bagi DUN Bawang Assan dan Alan Ling Sie Kiong bagi DUN Senadin.

Chong berkata, beliau telah menandatangani dan menyerahkan watikah pencalonan kepada Alice Lau di Parlimen semalam, manakala Alan Ling akan menerima watikahnya petang ini sebelum pulang ke Miri bagi proses penamaan calon esok.

Dengan penambahan terbaharu itu, DAP akan bertanding di 14 kerusi DUN pada PRN Sarawak ke-13.

Senarai penuh calon DAP adalah seperti berikut:

KUCHING :

1.Chong Chieng Jen (55), N.12 Kota Sentosa

2.Violet Yong Wui Wui (49), N.10 Pending

3.Dr Kelvin Yii Lee Wuen (40), N.11 Batu Lintang

4.Michael Kong Feng Nian (40), N.09 Padungan

5.Lim Nee Kon (61), N.01 Opar

6.Jordan Soo Tien Ren (29), N.13 Batu Kitang

7.Sim Kiat Leng (36), N.14 Batu Kawa

SIBU:

8.Irene Wong Lee Ting (24), N.54 Pelawan

9.Stanley Chiew Sung Ngie (48), N.51 Bukit Assek

10.Alice Lau Kiong Yien (45), N.53 Bawang Asan

MIRI:

11. Voon Kai Foo (33), N.74 Pujut

12.Alan Ling Sie Kiong (43), N.75 Senadin

BINTULU :

13.Tony Chiew Chan Yew (39), N.68 Tanjong Batu

SARIKEI :

14. Roderick Wong Siew Lead (36), N.46 Meradong

Chong berkata, calon DAP mempunyai purata usia 41.42 tahun, terdiri daripada seorang calon berusia 61 tahun, beliau sendiri berusia 55 tahun, enam calon dalam lingkungan usia 40-an, empat dalam lingkungan 30-an dan dua dalam lingkungan 20-an.

Beliau menyifatkan barisan calon itu sebagai pasukan muda, sekali gus mencerminkan komitmen DAP dalam memberi peluang kepada generasi muda untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan.

Beliau turut mengetengahkan tiga calon wanita parti itu, iaitu Violet Yong, Alice Lau dan Irene Wong.

CHONG Chieng Jen (kiri) menyerahkan watikah kepada Alice Lau.

Chong berkata, penyertaan wanita dalam politik amat penting memandangkan golongan itu merangkumi kira-kira separuh daripada jumlah penduduk dan telah membuktikan kemampuan mereka dalam kepimpinan pelbagai bidang.

Beliau turut mengulas mengenai komposisi usia dan jantina barisan calon parti lain, sambil menegaskan bahawa DAP memberi penekanan terhadap perwakilan golongan muda dan wanita.

Kesemua 14 calon itu akan memulakan kempen esok menjelang hari pengundian pada 12 Disember.