KUCHING, 27 November: Seramai 152 individu ditahan dalam Ops Mahir dan Ops Kutip yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di empat lokasi sekitar Kuching dan Kota Samarahan, semalam.
Operasi selama 10 jam bermula 9.00 pagi hingga 7.00 malam itu melibatkan pemeriksaan terhadap 174 individu di beberapa tapak pembinaan, kawasan perindustrian dan Ibu Pejabat Polis Bantuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Antara lokasi yang diperiksa ialah Lorong Merdang Limau dan Lorong Riveria di Kota Samarahan, Daerah Tanah Muara Tebas yang menempatkan Zon Perindustrian Bebas Samajaya serta Ibu Pejabat Polis Bantuan Unimas.
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam dan hasil risikan JIM Kuching bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Kesalahan yang dikenal pasti melibatkan Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.





