PRN: Ali Biju sah tidak bertanding, akur keputusan Bersatu

Facebook
WhatsApp
DATUK Ali Biju

SARATOK, 27 November: Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 (PRN13), selaras dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak menyertai pilihan raya berkenaan.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda menghormati pendirian parti yang memilih untuk memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ali berkata beliau akan akur dengan keputusan Bersatu dan tidak akan meletakkan dirinya sebagai calon dalam PRN13.

Beliau turut menjelaskan bahawa fokusnya kini adalah terhadap persiapan menghadapi PRU akan datang, meskipun pilihan raya tersebut masih jauh.

“Saya (juga) sudah umumkan Bersatu tidak bertanding dan kita akan ikutlah.

“Saya kena fokus untuk PRU yang akan datang. Kita tidak tahulah, itu masih lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu mengumumkan keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak kali ini dan sebaliknya memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi PRU akan datang.

Keputusan Ali itu sekali gus mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan sebarang kerusi pada PRN13, selepas pernah menjadi antara figura politik yang mewakili kawasan Saratok di peringkat negeri dan Parlimen.

Perkembangan itu turut memberi dimensi tersendiri kepada persaingan politik di kawasan Saratok menjelang PRN13 yang bakal berlangsung pada 12 Disember ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali sebelum ini turut mengumumkan Bersatu tidak bertanding PRN13 Sarawak.

Bersatu katanya, mengikuti perkembangan politik semasa di Sarawak yang memberi tumpuan kepada kestabilan, keharmonian pelbagai kaum, dan pembangunan ekonomi yang lestari.

“Sehubungan dengan itu, Bersatu telah mengambil ketetapan untuk tidak menyertai PRN Sarawak ke-13,” katanya.

Katanya, Bersatu Sarawak akan terus berusaha memperkukuhkan asas perjuangan Bersatu sebagai wahana untuk memberi khidmat kepada rakyat Sarawak.

Bersatu menyusuli langkah beberapa parti lain untuk tidak menyertai PRN Sarawak, selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Wawasan Rakyat (Wawasan) dan Barisan Nasional (BN).

Tambahnya, Bersatu mempunyai seorang wakil rakyat di Sarawak, iaitu Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.

Untuk rekod, Ali pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian selama dua penggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri 2011 dan 2016 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada PRN 2021, beliau pada awalnya mengemukakan pencalonan sebagai calon Bebas meskipun Bersatu telah memutuskan untuk tidak bertanding.

Bagaimanapun, beliau menarik diri tiga hari kemudian dan menyatakan sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Friday Belik.

Walaupun menarik diri daripada pertandingan, Ali tetap memperoleh 1,777 undi, manakala Friday memenangi kerusi Krian dengan 3,885 undi dan majoriti 932 undi.

Oleh Adi Safarman