Untai Dana tarik diri daripada bertanding di DUN Kabong sebagai Calon Bebas

Facebook
WhatsApp
MEJAR (Bersara) Untai Dana

KABONG, 27 Nov: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong, Mejar (Bersara) Untai Dana, mengumumkan keputusan menarik diri daripada pertandingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Keputusan itu dibuat susulan perubahan calon bagi kerusi berkenaan kepada wajah baharu, sekali gus menyebabkan beliau memilih untuk berundur demi mempertahankan prinsip yang dipegang sejak awal.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Untai menjelaskan bahawa pendiriannya untuk bertanding sebelum ini bersandarkan kepada syarat bahawa calon sedia ada bagi DUN Kabong akan terus kekal bertanding.

Menurutnya, perubahan tersebut mendorong beliau membuat keputusan untuk tidak meneruskan hasrat bertanding atas tiket Bebas.

Beliau turut memohon maaf kepada semua penyokong, sahabat serta masyarakat Kabong yang mungkin berasa kecewa dengan keputusan berkenaan.

“Saya berundur daripada pertandingan, bukan daripada perjuangan. Semoga Kabong terus maju, makmur dan sejahtera di bawah kepimpinan yang baharu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap kepimpinan baharu yang bakal menerajui Kabong kelak sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, selain peka terhadap kesusahan masyarakat dan bersedia mendengar suara penduduk.

Beliau turut mengingatkan bahawa amanah kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kepentingan masyarakat terus terbela.

Untai menegaskan bahawa keputusan menarik diri itu bukan bermakna perjuangannya terhadap masyarakat Kabong berakhir.

“Prinsip dipertahankan, suara rakyat dihormati, perjuangan diteruskan,” katanya.

Oleh Adi Safarman