KUCHING: Semua syarikat di Zon Perdagangan Bebas Samajaya di sini dibenarkan beroperasi pada tahap minima oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais berkata Sarawak tidak terkecuali untuk membenarkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) itu untuk meneruskan operasi di sini.
“Hal ini adalah seiring dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang membenarkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) beroperasi di tahap minimal seperti di negeri Selangor dan Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri juga membenarkan industri melibatkan petani, nelayan, perladangan, papan lapis dan kayu, syarikat minyak dan gas untuk beroperasi agar ekonomi tidak terjejas teruk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan semalam bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen baru-baru ini yang mahu kerajaan negeri menutup kilang elektronik di Zon Perdagangan Bebas, Samajaya sepanjang PKP ini.
Menurut Naroden, JPBNS juga telah mengumumkan kedai perkakasan, jualan input pertanian, dan kedai bahan gantian dibenarkan beroperasi dua kali seminggu, iaitu pada Selasa dan Khamis dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam.
Katanya, syarikat sektor E&E di Samajaya itu hanya beroperasi sekitar 20 hingga 30 peratus, menggunakan syif dan bukan secara ramai di dalam satu tempat.
Malah, jelas Naroden, kakitangan pengurusan sektor berkenaan juga diminta untuk bekerja dari rumah.
Tambahnya, kilang-kilang berkenaan juga diingatkan supaya menyediakan langkah pencegahan termasuk pemeriksaan suhu badan, penggunaan penutup hidung dan mulut, cecair sanitasi tangan, penjarakan sosial di kantin, bilik mesyuarat, kawasan pengeluaran dan sebagainya.
“Kebanyakan syarikat ini telah mula melaksanakan langkah pencegahan tersebut sebelum PKP diumumkan lagi.
“Mereka juga bertindak untuk menghadkan perjalanan kakitangan mereka ke kawasan yang terjejas,” ujarnya.
Naroden memberitahu, sebahagian daripada syarikat itu mempunyai klinik mini mereka sendiri dengan beberapa orang doktor dan jururawat untuk memantau kesihatan pekerja.
Mereka juga ada menubuhkan jawatankuasa mereka sendiri untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, jelasnya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama beberapa orang menteri pada 26 Mac telah melakukan lawatan kerja ke lima syarikat dan kilang di Samajaya itu.
Polis dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) juga akan terus menjalankan pemeriksaan rutin ke atas syarikat-syarikat ini dan pada masa yang sama mereka dikehendaki untuk mengemukakan laporan setiap hari ke JPBN melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED).
Setakat ini tiada syarikat yang dilaporkan tidak mengikut syarat-syarat yang telah diberikan dan tiada kes Covid-19 yang dilaporkan di Samajaya.
JPBN juga akan mengkaji semula status kilang-kilang di kawasan tersebut jika terdapat kes Covid-19 yang dilaporkan atau jika terdapat laporan yang tidak mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan oleh PKP.
Walau bagaimanapun, jika ada keperluan untuk menutup kilang-kilang di Samajaya kerana Covid-19, JPBN dan MINTRED tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian, tegas Naroden.