LAWAS: Bandar Lawas sesak dengan kenderaan berbaris untuk mengisi minyak disebabkan kekurangan stesen minyak setelah penutupan sementara stesyen minyak Petronas di Jalan Lawas Damit sehingga Januari depan untuk kerja baikpulih.
Keadaan ini mula berlaku Rabu lalu dan keadaan bertambah teruk menjelang Jumaat apabila bandar Lawas mula menerima kemasukan ratusan kenderaan dari negara jiran Brunei dan Sabah.
Tinjauan mendapati ramai memohon agar operasi stesyen minyak Shell yang terletak di tebing Sungai Lawas dan di belakang bangunan kedai dilanjutkan masa operasi.
Setakat ini, stesen minyak berkenaan mula beroperasi pada jam 7.00 pagi hingga 9.00 malam.
Oleh itu, pengguna dan pemilik kenderaan memohon agar operasi stesyen Shell ini dapat dilanjutkan sehingga tengah malam.
Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan akibat ratusan kenderaan yang setiap hari berbaris panjang untuk membeli minyak sehingga menyebabkan laluan di sepanjang jalan Bulatan ke Pulau Salam menyebabkan kesesakan teruk.
Tinjauan juga mendapati laluan tersekat apabila banyak lori, trailer dan kenderaan besar turut berbaris panjang untuk mengisi minyak.
Bagi setiap kenderaan besar ini, memerlukan lebih setengah jam untuk memenuhkan tangki minyak yang besar.
Malah ada juga pembeli minyak subsidi daripada kalangan nelayan yang turut menjadikan keadaan di stesyen sesak.
Turut berlangsung di Lawas ialah majlis makan tahun Kedayan yang bermula semalam hingga esok, turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya di bandar Lawas.
Rakyat juga berharap sebuah stesyen minyak yang dikendali oleh Petrso dapat dibuka di Lawas bagi memenuhi permintaan tinggi bahan bakar berikutan peningkatan jumlah kenderaan penduduk dan pelawat luar.
Selain itu, kebimbangan utama ialah jika berlaku banjir maka stesyen minyak Shell terpaksa ditutup dan penduduk tidak ada sumber bekalan baham bakar untuk kenderaan dan enjin penjana elektrik di kampung-kampung pendalaman.
Oleh ADENG EDRUS