SIMANGGANG: Empat ekor anak anjing berjaya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman selepas terjatuh ke dalam sebuah parit berhampiran kawasan belakang perpustakaan di sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita berhampiran lokasi kejadian pada 5.52 petang.
“Pengadu telah menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan selepas melihat empat ekor anak anjing terjatuh ke dalam parit berkenaan.
“Sebaik menerima makluman, empat anggota bertindak segera ke lokasi kejadian yang berjarak hanya kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota yang terbabit dalam operasi menyelamat itu tiba di lokasi pada 6.00 petang dan berjaya menyelamatkan kesemua anak anjing berkenaan dalam tempoh lima minit.
“Operasi menyelamat berjalan lancar dan selesai pada 6.05 petang tanpa sebarang kesulitan,” katanya.
Kamal turut menyeru orang ramai supaya tidak teragak-agak untuk menghubungi APM sekiranya menghadapi sebarang kecemasan yang memerlukan bantuan segera.
Oleh Adi Safarman





