KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) mencatat detik bersejarah apabila menerima pendermaan organ pertama daripada penderma beragama Islam di hospital berkenaan pada 15 September lalu.
HUS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, keputusan keluarga penderma untuk menyumbangkan organ dibuat ketika mereka berada dalam suasana dukacita, namun pada masa sama memilih untuk memberikan harapan dan peluang kehidupan kepada penerima organ.
Unit Perolehan Organ dan Pendermaan (UPOH) HUS turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga penderma atas kepercayaan yang diberikan kepada pasukan perubatan dalam menguruskan proses pendermaan organ berkenaan.
“Proses itu dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sumber Transplan Nasional, dengan pasukan pelbagai disiplin memastikan urusan perolehan organ dijalankan secara penuh bermaruah, sensitif serta menghormati kepercayaan dan pegangan agama keluarga penderma,” menurut hantaran tersebut.
Menurut HUS, proses berkenaan bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah hospital itu, malah memperlihatkan komitmen pasukan perubatan dalam memastikan urusan pendermaan organ dilaksanakan dengan penuh penghormatan terhadap keluarga serta nilai kepercayaan mereka.
Dalam pada itu, pendermaan berkenaan disifatkan sebagai satu detik yang amat bermakna kerana keputusan keluarga penderma berpotensi memberikan peluang kehidupan baharu kepada individu yang memerlukan pemindahan organ.
HUS turut menghargai kekuatan dan keprihatinan keluarga penderma yang, di sebalik kehilangan insan tersayang, memilih untuk mengubah sebuah detik dukacita menjadi sinar harapan kepada penerima organ.
Pencapaian itu sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah perkembangan perkhidmatan pendermaan dan perolehan organ di HUS, selain menyerlahkan nilai kemanusiaan, ihsan dan solidariti dalam membantu menyelamatkan nyawa.
Oleh Adi Safarman




