BETONG: Jambatan Batang Layar yang ditutup kepada pengguna sejak dua minggu lalu berikutan kerja-kerja pembaikan dijangka dibuka semula kepada orang awam esok.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datu Dr Cassidy Morris berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan berkenaan kini berada pada peringkat akhir dan dijangka siap petang ini.
Menurutnya, pemeriksaan turut dilaksanakan hari ini bagi memastikan jambatan berkenaan berada dalam keadaan stabil dan selamat sebelum dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

“Seperti yang kita tahu, kita telah membuat penutupan jambatan sejak dua minggu lalu kerana terdapat sedikit kerosakan yang perlu diperbaiki.
“Sekarang kerja-kerja membaik pulih berada pada peringkat akhir dan dijangka siap pada petang ini. Jadi, kita jangkakan esok jambatan ini akan dibuka kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak kerja membaik pulih Jambatan Batang Layar bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja pembaikan jambatan berkenaan, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Cassidy memaklumkan, kenderaan berat tidak digalakkan menggunakan jambatan tersebut buat sementara waktu mengambil kira keadaan struktur jambatan yang telah berusia.
“Kita risau juga dengan keadaan jambatan yang telah uzur, jadi kita tidak benarkan kenderaan berat. Kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif lain.
“Kita utamakan kenderaan kecil dan kenderaan yang tidak membawa muatan berlebihan,” katanya.
Menurutnya, langkah mengehadkan penggunaan kenderaan berat itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna selain membantu memelihara keadaan jambatan untuk jangka panjang.
Pada masa sama, pembukaan semula jambatan berkenaan dijangka membantu memastikan kesalinghubungan kampung-kampung di sekitar kawasan Layar terus terpelihara, khususnya bagi pengguna kenderaan ringan.
“Di Betong banyak laluan alternatif. Jadi, kita minta kenderaan berat menggunakan laluan berkenaan sementara kenderaan kecil boleh menggunakan jambatan ini,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Oleh Adi Safarman




