Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di pusingan U Jalan Batu Kawa–Bau

Facebook
WhatsApp
NAHAS… Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Aruz di P-Turn Jalan Batu Kawa–Bau berhampiran Vision Height 3, Kuching, hari ini.

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan berusia 56 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah Perodua Aruz di pusingan U Jalan Batu Kawa–Bau berhampiran kawasan perumahan Vision Height 3, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, kemalangan berlaku sekitar 10.10 pagi, hari ini.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sekitar 11.26 pagi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak,” katanya.

Barry berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Aruz berusia 63 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Batu Kawa menuju ke Lundu bersama seorang penumpang lelaki berusia 45 tahun.

Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas pembahagi jalan, manakala kedua-dua kenderaan terus bergerak sebelum melanggar penghadang jalan di pembahagi tengah dan terbabas ke laluan bertentangan.

Pemandu dan penumpang Perodua Aruz tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Barry turut memaklumkan bahawa kemalangan berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah, dengan kawalan trafik dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Bahagian Trafik IPD Padawan.

Oleh Connie Chieng