BETONG: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan kemudahan kesihatan di luar bandar menerusi usaha mempercepat pelaksanaan Projek Pusat Hemodialisis Kabong yang dijangka memberi manfaat besar kepada pesakit buah pinggang di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelbagai aspek penting telah dibincangkan dalam Mesyuarat Hala Tuju Projek Pusat Hemodialisis Kabong yang berlangsung di Pejabat Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), semalam.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada kedudukan kewangan projek, status proses tender, cadangan kaedah pelaksanaan serta tindakan susulan yang perlu diambil bagi memastikan projek itu dapat direalisasikan mengikut perancangan.
Beliau berkata, antara keputusan utama yang dipersetujui ialah menjadikan skop projek Pusat Hemodialisis Spaoh sebagai rujukan bagi memastikan pelaksanaan projek di Kabong lebih praktikal, berkesan dan selaras dengan peruntukan yang disediakan.
“Pendekatan ini diyakini dapat membantu memperkemaskan pelaksanaan projek selain memastikan reka bentuk dan skop kerja memenuhi keperluan semasa serta memberi nilai terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dipertanggungjawabkan untuk memaklumkan keputusan Mesyuarat Lembaga Tender kepada pihak ADUN sebaik sahaja proses berkaitan selesai.
Selain itu, JKR juga akan menyemak serta menyelaraskan semula reka bentuk projek supaya bersesuaian dengan skop kerja baharu dan peruntukan yang telah diluluskan, sekali gus memastikan pelaksanaan projek berjalan lebih lancar.
Chee Kadir berkata, kerjasama erat antara semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan setiap tindakan susulan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan demi merealisasikan pembinaan pusat hemodialisis tersebut.
Beliau berharap segala usaha yang dirancang dipermudahkan dan projek itu dapat disiapkan dengan jayanya bagi memberi kemudahan rawatan hemodialisis kepada penduduk setempat, khususnya pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan secara berkala tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pegawai Tadbir Khas BDDA Abang Mohamed Abang Turkey, Jurutera JKR Bahagian Betong Jason Ng Boon serta pegawai-pegawai teknikal dan urus setia yang berkaitan.
Beliau pada masa sama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas komitmen serta peruntukan yang disediakan bagi merealisasikan projek Pusat Hemodialisis Kabong, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Kabong.
Oleh Adi Safarman




