SIMANGGANG: Seramai 50 orang peserta menyertai program Senaman Warga Emas peringkat Bahagian Sri Aman di Tebingan Sungai Sri Aman, semalam.
Program itu adalah inisiatif Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) serta Majlis Daerah Sri Aman.
Menurut jurucakap penganjur, program itu bertujuan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat terutamanya warga emas.
Selain itu katanya ia mampu mengekal serta meningkatkan tahap kesihatan warga emas untuk memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang berkualiti.
“Sekiranya berjaya menyerapkan gaya hidup aktif dalam kalangan warga emas, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit sekali gus meningkatkan kadar kesihatan golongan terbabit,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program terbabit menjurus kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua, seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2030.
Dalam pada itu, penganjuran pada siri pertama dan kedua telah dilaksanakan pada 21 dan 28 Ogos lalu bertempat di Kompleks Penyayang Sri Aman.
Siri empat hingga siri enam akan dilaksanakan di Tebingan Sungai Batang Lupar, Sri Aman iaitu pada 11 dan 18 September dan berakhir pada 25 September ini.
Gambar
Peserta yang menyertai Program Senaman Warga Emas peringkat Bahagian Sri Aman bertempat di Tebingan Sungai Sri Aman, semalam.